Tuesday, August 24, 2010

antara kisah-kisah teladan

Anak Kecil Yang Takut Api Neraka

Dalam sebuah riwayat menyatakan bahawa ada seorang lelaki tua sedang berjalan-jalan di tepi sungai, sedang dia berjalan-jalan dia terpandang seorang anak kecil sedang mengambil wuduk sambil menangis.
Apabila orang tua itu melihat anak kecil itu menangis maka dia pun berkata: “Wahai anak kecil, kenapa kamu menangis?”

Maka berkata anak kecil itu. “Wahai pakcik, saya telah membaca ayat Al-Quran sehingga sampai kepada ayat yang berbunyi “Yaa ayyuhal ladziina aamanuu quu anfusakum” yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, jagalah olehmu sekalian akan dirimu.” Saya menangis sebab saya takut akan dimasukkan kedalam neraka.”
Berkata orang tua itu. “Wahai anak, janganlah kamu takut sesungguhnya kamu terpelihara dan kamu tidak akan dimasukkan ke dalam neraka.”

Berkata anak kecil itu. “Wahai pakcik, pakcik adalah orang yang berakal, tidakkah pakcik lihat kalau orang menyalakan api maka yang pertama sekali mereka akan meletakkan ran- ting-ranting kayu yang kecil dahulu kemudian baru mereka meletakkan kayu besar. Jadi tentulah saya yang kecil ini akan dibakar dahulu sebelum dibakar orang dewasa.”

Berkata orang tua itu, sambil menangis: “Sesungguhnya anak kecil ini lebih takut kepada neraka daripada orang yang dewasa maka bagaimanakah keadaan kami nanti?”.


Linangan Air Mata Kesyukuran Abu Darda

Abu Darda adalah salah seorang sahabat karib Nabi SAW. Beliau dianggap sebagai seorang sahabat yang sangat takwa kepada Allah SWT. Dia sangat berendah hati dan zuhud terhadap kemewahan dunia. Sebagai seorang sahabat besar, Abu Darda banyak memperolehi hadith-hadith dari Rasulullah SAW.

Pada suatu hari diriwayatkan Abu Darda telah mendapat berita tentang kampung halamannya telah terbakar. Menurut berita yang diterima melalui seorang sahabat beliau bahawa rumahnya juga telah turut terbakar. Bagaimana pun Abu Darda yang teguh iman itu tidak berasa terkejut mendengar berita itu. Dia kelihatan tenang menerimanya, seolah-olah tidak ada suatu pun yang berlaku ke atas dirinya.

Bahkan beliau tidak sedikit pun tergesa-gesa untuk pulang melawat rumahnya yang telah hangus. Sebaliknya Abu Darda menyelesaikan dahulu segala kerjanya. Setelah selesai baharulah dia berangkat menuju ke kampungnya untuk melihat kebakaran itu. Dalam perjalanan itu Abu Darda hanya bertawakal sahaja kepada Allah kerana kepada Dia sajalah kita berserah malah Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu.

Sebaik saja dia sampai di kampungnya dia mendapati ke semua rumah orang-orang kampungnya telah hangus terbakar. Atas kebesaran dan kehendak Allah yang Maha Berkuasa rumah Abu Darda tidak langsung terjejas dan di makan oleh api. Dengan linangan air mata Abu Darda menadahkan tangannya ke hadrat Ilahi sambil mengucapkan syukur.

1 comment: